Monday, January 5, 2009

Hati-hati Games Online

Permainan Games Online mencemuh agama

KUALA LUMPUR: Cukup hina bagi umat Islam apabila pemain permainan komputer boleh menghidupkan karekter berasaskan manusia, tetapi menamakannya sebagai Allah, malah lebih meluapkan perasaan marah apabila watak terbabit hanya berseluar dalam.


Mungkin kerana cetek pengetahuan agama menyebabkan segelintir remaja yang gemar melayari permainan komputer secara terus di Internet menjadikannya medan untuk mencaci serta menghina agama.

Mereka sepatutnya menguji kecekapan atau minda, bukannya memburuk-burukkan agama melalui permainan dalam talian berkenaan.

Berdasarkan pendedahan seorang ‘kaki’ permainan komputer, siasatan Harian Metro mendapati wujudnya pemain yang sengaja mempersendakan agama berikutan tiada tapisan mengenai sensitiviti agama atau kaum.


Pemain terbabit yang dikenali sebagai Hazdi berkata, hampir semua permainan di Internet yang pernah dicubanya tidak mempunyai tapisan membabitkan agama atau kaum.

Ini menyebabkan kebanyakan pemain yang didakwanya berusia belasan tahun itu sewenang-wenangnya mencerca dan menghina agama.

“Saya tidak faham dengan pembangun perisian ini. Jika dilihat daripada alamat pertubuhan yang menyediakan permainan terbabit, mereka beroperasi di negara ini, malah dipercayai berdaftar dengan MSC.

Bagaimanapun, mereka langsung tidak peka terhadap sensitiviti agama.

Dia yang sering berkunjung di kafe siber untuk bermain permainan komputer berkata, pembuat perisian sepatutnya membuat tapisan terhadap nama watak sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris bagi menjaga sensitiviti agama di negara berbilang kaum ini.

“Janganlah benarkan pemain sesuka hati menamakan watak yang dihidupkan bagi mengelak tindak balas daripada pihak tertentu,” katanya.

Dia seterusnya mengesan sesetengah pemain senior secara terus di Internet itu suka menjerat pemain baru untuk mendapatkan wang atau kad tambah nilai.

Situasi itu boleh dilihat apabila pemain senior itu menawarkan barangan yang boleh ditukar dengan kad tambah nilai atau wang.

“Kebanyakan pemain senior itu pelajar sekolah. Jadi mereka sememangnya tidak mempunyai sumber kewangan tetap untuk berkunjung di kafe siber. Disebabkan itu, mereka berani menipu pemain baru dengan menawarkan barangan yang boleh ditukar dengan kad tambah nilai atau wang yang dibayar menerusi akaun bank.
Sumber :hmetro.com.my

* Penghinaan terhadap ISLAM semakin menjadi-jadi, bermula dengan karektor lukisan-lukisan karton menghina nabi Muhammad, menulis kalimah ALLAH di atas kasut dan yg terkini di alam maya, permainan games online menggunakan nama ALLAH... Tunggulah pembalasan dari ALLAH di atas penghinaan yg dilakukan .. *

No comments: