Wednesday, October 7, 2009

Azimat Menempuh Peperiksaan

Azimat Menempuh Peperiksaan






“Bolehkah kamu berjaya dalam hidup jika tidak lulus PMR dan SPM?” saya melontarkan soalan kepada peserta.

Boleh tahan juga bilangannya yang mengangkat tangan untuk jawapan YA.

“Maknanya ramailah yang merancang untuk gagal PMR dan SPM ni ya? Senang kerja saya” saya membuat kesimpulan.

Guru-guru pun ada yang kelihatan resah dengan idea yang saya sampaikan. Memberikan cadangan bahawa hidup boleh diteruskan dengan kejayaan tanpa kelulusan PMR dan SPM?


“Baiklah, bagi yang kata kita boleh berjaya dalam hidup walaupun gagal PMR dan SPM, bolehkah kongsikan hujah anda?” saya menyambung provokasi.

Seperti biasa, ramai yang tertunduk-tunduk, memandang dinding dan bumbung dewan, melarikan mata daripada memandang saya kerana tidak mahu disuruh menjawab soalan. Itu ‘penyakit’ yang sering melanda pelajar-pelajar kita. Bising bila ramai, kecut bila diminta bersuara atas kapasiti peribadi.

“Sebab PMR dan SPM bukan segala-galanya. Ada ujian yang lebih besar di Akhirat!” jawab seorang pelajar.

Wah, jawapannya disambut dengan tepuk tangan oleh rakan-rakan. Saya juga mengucapkan syabas kepadanya kerana berani bersuara. Senaskhah buku Persediaan Minda Pelajar Cemerlang tulisan rakan saya, Osman bin Affan, dijadikan hadiah buat pelajar yang berani ini.

PMR DAN SPM URUSAN AKHIRAT

“Maksud kamu, PMR dan SPM tiada kena mengena dengan Akhirat?” saya menyambung soalan.

“Err… err…” pelajar itu tidak pasti, asyik menggaru kepala.

“Ada ke benda di dunia ini yang tiada kena mengena dengan Akhirat?” saya meneruskan soalan.

“Sekular!” jawab seorang pelajar.

Hebat falsafahnya. Senaskhah lagi buku Motivasi Alihan Pelajar tulisan Dr. Tengku Asmadi, saya jadikan hadiah buat pelajar yang memberikan kata kunci berharga dalam sampuk beliau itu tadi.

Hakikatnya, sama ada kita boleh berjaya atau tidak dalam hidup ini tanpa lulus PMR dan SPM, jawapannya ialah YA dan TIDAK.

JIKA MAHU JAWAPANNYA YA

Anda berusaha gigih.

Pergi ke sekolah dan menghadiri kelas dengan penuh tumpuan. Tidak ponteng kelas tambahan. Bertanya jika tidak faham. Membuat kerja latihan yang diberi, berlatih menjawab soalan-soalan tahun lepas, mencipta mnemonic untuk membantu anda menghafal fakta… anda berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Tiba-tiba menjelang peperiksaan, berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

Anda demam campak.

Seperti semasa saya menduduki kertas pertama SPM, kertas Bahasa Melayu.

Disebabkan oleh perkara-perkara yang tidak dijangka itu, anda mendapat keputusan peperiksaan yang tidak seperti apa yang diharapkan, malah mungkin gagal terus… ketahuilah, anda adalah calon manusia berjaya dalam hidup ini di dunia dan di Akhirat.

Mengapa?

UPSR, PMR dan SPM walaupun kejayaannya diukur pada keputusan yang tercatat di atas kertas keputusan peperiksaan, namun itu bukanlah inti pati utamanya. Tanyalah seorang jurutera, semasa beliau menghadiri temuduga kerja, apakah majikannya bertanya tentang keputusan UPSR dan PMR beliau?

Tiada.

Sudah tidak penting lagi.

Tetapi apa yang diajar oleh UPSR, PMR dan SPM ialah latihan mencipta kejayaan iaitu pada SIKAP yang dibentuk di sepanjang perjalanan menuju dewan peperiksaan. Jika anda telah berusaha gigih, memberikan sepenuh komitmen, berdisiplin untuk mengutamakan apa yang utama, bersabar dengan apa yang kita tidak suka untuk nantinya dapat apa yang kita suka, maka kita sudah pun berjaya, sebelum keluar keputusan peperiksaan!.

Kejayaan ialah perjalanan, bukan destinasi!

Jika anda sudah menyertai perjalanan itu, anda sudah pun berjaya.

JAWAPANNYA PASTI TIDAK

Namun, jika anda gagal di dalam peperiksaan kerana tidak berusaha, malas, menyakiti hati ibu bapa dan guru, maka ketahuilah anda adalah calon manusia gagal di dunia dan di Akhirat.

“Tapi ustaz, Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew jadi jutawan walaupun tak sekolah!” kata seorang pelajar merujuk kepada Honda Man, tokoh perniagaan negara yang amat terkenal itu.

“Dia jadi jutawan bukan dengan menggagalkan diri di dalam peperiksaan. Kamu tahu, Mendiang Boon Siew bekerja mengutip tahi babi semasa di usia kamu untuk menyara hidupnya. Ia lebih hebat daripada kesanggupan kamu berjalan kaki ke kelas tambahan di sekolah pada tengah hari yang panas terik di bulan puasa! Itulah SIKAP!” saya menambah.

Nampaknya pelajar-pelajar ini sudah panas. Sudah berani menjawab. Sebuah lagi buku MAGNET DIRI tulisan Amin Idris saya hadiahkan kepadanya.

“Macam mana boleh gagal PMR dan SPM membawa kepada kegagalan di Akhirat, ustaz?” tanya seorang pelajar.

“Dunia ladang Akhirat. Macam yang ustaz sebut tadi, kalau kegagalan peperiksaan itu berpunca daripada sikap atau akhlaq yang buruk, menyakiti hati guru-guru dan ibu bapa yang bersusah payah mahukan kejayaan untuk kamu, itulah dosa yang menjadi saham untuk membeli kerusi di lubuk Neraka!” saya menambah.

Ceramah berlangsung lagi hingga selesai satu jam setengah masa yang diberikan.

Tiada apa-apa resepi kejayaan rahsia yang saya berikan.

Bak kata bapa kepada hero pujaan filem kegemaran saya yang wajahnya mirip-mirip saya:

“There is no secret ingredient, you just have to believe! – Abu Panda”

Selamat menempuh peperiksaan PMR untuk pelajar-pelajar yang menduduki kertas pertama mereka hari ini.

Jika ada soalan yang tidak diketahui jawapannya, tuliskan sahaja WALLAHU A’LAM (Allah lebih mengetahui), pasti betul. Jangan ada pegawai pemeriksa yang memangkahnya. Rosak Aqidah!

Cuma, tiada markahlah… itu sahaja.

Ingat, kejayaan adalah perjalanan, bukan destinasi!

Seeru ‘alaa barakatiLlaah!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

No comments: