12 ditahan makan di tempat awam
Di manakah nilai, tanggungjawab dan maruah seorang MUSLIM!!
KUALA LUMPUR – Terlupa baca niat puasa, demikian alasan yang diberikan seorang lelaki lingkungan 20an yang ditahan bersama seorang rakannya ketika sedang asyik bersarapan nasi lemak dengan teh tarik di sebuah gerai di belakang Kompleks Wilayah, dekat sini, semalam.
Dia di antara 12 yang ditahan kerana tidak menghormati bulan Ramadan. Tanpa segan silu makan, minum, menghisap rokok atau seumpamanya di tempat awam secara terbuka.
Kesemua yang ditahan lingkungan 18 hingga 30 tahun termasuk seorang wanita yang dalam percubaan untuk makan di sebuah medan selera milik sebuah pasar raya terkemuka.
Mereka ini ditahan dalam operasi khas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang dijalankan kira-kira jam 10 pagi semalam dan berakhir lima jam kemudian di 45 lokasi tumpuan kaki ponteng puasa di sekitar ibu kota.
Tinjauan Sinar Harian mendapati dapur di sebuah medan selera di Jalan Tunku Abdul Rahman 12 turut dijadikan ‘pusat’ golongan ini di mana terdapat longgokan kotak minuman dan bekas makanan serta puntung rokok.
Pelbagai ragam turut diperlihatkan oleh kaki ponteng. Antaranya ada yang melarikan diri malah terdapat pasangan orang kurang upaya (OKU), cacat penglihatan makan di sebuah restoran. Namun atas nasihat pegawai JAWI, pasangan itu membungkus semula makanan mereka.
Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI, Zainul Abidin Mat Noor berkata, kesemua mereka akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 ke atas mana-mana orang Islam pada waktu bulan Ramadan.
“Kesemua mereka tidak ditangkap atau ditahan tetapi diberikan notis untuk hadir ke pejabat JAWI esok (hari ini) untuk memberi keterangan sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dan jika didapati telah dua kali melakukan kesalahan, hukuman yang dikenakan adalah dua kali ganda,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Menurut Zainul Abidin, pihaknya turut menyita pelbagai barang seperti makanan, minuman untuk dijadikan bahan bukti di mahkamah.
Katanya, ‘Operasi Tidak Menghormati Bulan Ramadan’ ini dikuatkuasakan serta-merta bermula semalam di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Wednesday, September 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment